Hukum Lelaki Solat Tanpa Berbaju
Terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. menyebutkan;
لاَ يُصَلِّي أَحَدُكُمْ فِي الثَّوْبِ الْواحِدِ، لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَيْء
“Janganlah sesiapa dari kamu mengerjakan solat dengan satu pakaian
sahaja di mana tidak ada di atas bahunya satu pakaian pun” (HR Imam
al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut mazhab
Hanbali dan Hanafi; tegahan hadis di atas menunjukkan kepada
pengharaman. Jadi menurut pandangan ini; wajib ketika mengerjakan solat
kita menutup atas badan kita dengan sebarang kain sekalipun nipis
sekadar tidak menampakkan warna kulit.
Namun mazhab
Syafi’ie dan Malik berpandangan; larangan dalam hadis di atas hanyalah
larangan makruh sahaja, tidak haram. Jadi, mengikut pandangan ini; kita
disunatkan memakai baju atau menutup bahagian atas badan kita ketika
solat dan jika kita tidak melakukannya tidaklah sampai berdosa atau
sampai membatalkan solat asalkan kita telah menutup aurat yang wajib
(iaitu dari pusat ke lutut). Dalil pandangan kedua ini ialah; hadis dari
Abu Hurairah r.a. yang menceritakan; seorang lelaki bertanya Nabi
s.a.w.; ‘Adakah harus sesiapa dari kami menunaikan solat dengan hanya
satu pakaian sahaja?’. Jawab Nabi s.a.w.;
أَوَ كُلُّكُمْ يَجِدُ ثَوْبَيْنِ
“Adakah ke semua kamu memiliki dua pakaian?”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini memberi
pengertian; tidak semua orang memiliki dua pakaian. Jadi jika
diwajibkannya sudah tentu akan menyukarkan orang yang tidak mampu untuk
menunaikan solat. Berkata Imam an-Nawawi; hadis ini menunjukkan
keharusan mengerjakan solat dengan memakai satu pakaian sahaja. Namun
para ulamak sepakat bahawa; memakai dua pakaian adalah paling baik.
0 comments:
Post a Comment